Meneroka, membina dan memajukan kemahiran Baru Dalam Bidang "swiftlet farming".
Pengusaha Rumah Gelap
Swiftlet Hunter
Wednesday, May 15, 2013
UPM bantu pengusaha
Industri pengeluaran sarang burung walet berdepan cabaran apabila hampir 70 peratus rumah burung diusahakan penternak kurang produktif.
Kegagalan penternak memahami spesies burung berkenaan, ditambah dengan pengurusan rumah tidak sistematik dikenal pasti menjadi punca haiwan itu tidak memasuki rumah yang disediakan.
Sehubungan itu, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditubuhkan pada 14 Mac lalu bersedia membantu menyelesaikan masalah dihadapi golongan terbabit.
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Jaringan Keusahawanan UCTC, Prof Madya Dr Azhar Kasim berkata, pemilihan UPM berikutan kepakarannya dalam industri berasaskan pertanian khususnya walet.
“Kami mendapat pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Walet.
“UPM diketahui sebagai pakar dalam sektor ternakan, tanaman dan akuakultur. Justeru, industri yang dikenal pasti mempunyai impak berkaitan bidang profesionalisme adalah burung walet.
“Dianggarkan kira-kira 50,000 rumah burung walet diusahakan di Malaysia dengan kebanyakannya kurang burung, kurang produktif dan tidak ada burung,” katanya.
Berdasarkan masalah itu, potensi penjanaan pendapatan masih ada, namun ia tidak menjelma. Justeru, UPM berganding bahu dengan beberapa rakan pintar dalam kerja pemulihan dan meningkatkan prestasi rumah burung.
“Gandingan UPM dengan rakan pintar bukan saja dapat meningkatkan keyakinan pengusaha rumah walet, tapi mewujudkan kerjasama erat antara pengusaha dengan saintis dalam aspek penyelidikan.
“Sebahagian daripada gerak kerja pemulihan dan penambahbaikan rumah burung walet sudah diolah supaya kutipan data saintifik dapat dipermudahkan bagi tujuan penyelidikan saintifik,” katanya.
Penemuan baru hasil daripada kajian saintifik ini dijangka dapat dikongsi bersama dengan rakan industri supaya industri dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.
“Kerja penambahbaikan membabitkan gandingan UPM-rakan pintar sudah menampakkan kejayaan yang dapat dibanggakan.
“Antara daerah terbabit dengan usaha sama ini adalah Sungai Petani, Kedah; Dengkil dan Hulu Langat di Selangor,” katanya.
Dr Azhar berkata, sekiranya rumah bermasalah dapat dipulihkan, pengusaha rumah burung berpotensi memperoleh pulangan lumayan.
“Ada 1,001 punca dikaitkan dengan rumah burung walet yang kurang atau tidak produktif. Antara langkah permulaan dalam gerak kerja diamalkan UCTC bersama rakan pintar, melaksanakan siasatan menyeluruh.
“Punca masalah akan dikenal pasti dan pengusaha akan menerima laporan terperinci dengan anggaran kos bagi kerja pemulihan yang munasabah,” katanya.
Situasi paling mencabar dalam melaksanakan aktiviti pemulihan rumah walet apabila rumah burung dibina tidak selari dengan konsep mendirikan rumah walet.
“Contohnya, rumah walet dibina pada lokasi yang jarang dilihat burung. Proses untuk meningkatkan jumlah sarang selepas pemulihan dibuat pada amnya mengambil masa lama,” katanya.
Individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan penyelesaian kepada masalah berkenaan boleh menyertai kursus Kaedah Menambahkan Penghasilan
Sarang Burung Walet anjuran UCTC yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 Mei ini.
Penceramah terdiri dalam kalangan rakan pintar dan saintis UPM. Yuran penyertaan dikenakan berpatutan.
Maklumat lanjut berkaitan kursus itu boleh diperoleh melalui urusetia dengan menghubungi talian 03-89471807/1814/1816/1819.
Edu. Animal Health And Production UPM 1990.More than 20 years involved in animal production. Having a birdhouse in pasir puteh completed and Fully occupied by swiftlet.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment