CHINA SEDIA BINCANG EKSPORT SARANG BURUNG WALIT MENTAH
June 6th, 2014 Irni
PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menghantar pegawai ke China bagi membincangkan isu pengeksportan sarang burung walit yang belum diproses ke negara itu.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan kesediaan China membincangkan perkara tersebut yang dinyatakan oleh rakan sejawatannya dalam pertemuan mereka baru-baru ini.
“Kalau dulu mereka langsung tidak mahu bincang mengenai sarang yang belum diproses, tapi sekarang sudah setuju,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini Isnin.
China sebelum ini memberi kelulusan kepada Malaysia bagi mengeksport sarang burung walit mentah bersih sejak Januari lalu, selepas beberapa siri perbincangan berikutan sekatan yang dikenakan ke atas negara ini.
Sekatan itu akibat laporan negatif media China mengenai kualiti sarang burung walit yang diimport dari Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Malaysia sedang melihat beberapa negara sumber baharu untuk mengimport daging termasuk Sudan dan Somalia, berbanding bergantung kepada empat negara iaitu India, Australia, Thailand dan New Zealand pada masa ini.
Beliau berkata pada masa ini bekalan daging mencukupi namun langkah itu diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara, lebih-lebih lagi apabila ada ura-ura India akan mengurangkan eksport mereka pada masa depan.
“Kemboja juga merupakan negara baharu dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sedang berada di sana untuk membuat pemilihan lembu hidup bagi dibawa masuk ke Malaysia.
“Kita akan tengok kalau kita dapat pasaran baharu dengan harga dan kualiti yang lebih baik, kita akan kurangkan import dari India,” katanya.
No comments:
Post a Comment