Pengusaha Rumah Gelap

Pengusaha Rumah Gelap
Rumah Gelap Simbol Kejayaan dan Kekayaan Pemilik

Swiftlet Hunter


counter

Tuesday, November 16, 2010

Berita Nasional. 22 negara sertai MAHA

2010/11/16

SEPANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2010) yang bermula 26 November ini berjaya menarik penyertaan lebih 22 negara sekali gus menjadi pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah, berkata MAHA 2010 juga adalah program penting dalam sektor pertanian dan asas tani bagi meningkatkan lagi imej Malaysia dalam sektor berkenaan.
“MAHA 2010 adalah pameran pertanian terbesar dan paling komprehensif di rantau ini dan kita mahu mengembangkannya pada peringkat Asia dan dunia pada masa akan datang," katanya selepas melancarkan pelekat MAHA limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Program itu antara strategi promosi untuk MAHA 2010 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang.

Burung walet janji pendapatan lumayan

Pembabitan Bumiputera masih kurang dalam industri ini

KUALA LUMPUR: Golongan Bumiputera kurang berminat dalam penternakan burung walet walaupun ia menjanjikan pendapatan lumayan berikutan sarangnya sentiasa mendapat permintaan tinggi. 

Ketua Eksekutif Global Excellent Marketing Sdn Bhd, Abdul Aziz Mohd Rejab, penasihat perusahaan itu berkata, pembabitan Bumiputera dalam sektor berkenaan kurang daripada 10 peratus dan selebihnya di dominasi kaum Cina.
“Mereka kurang pengetahuan mengenai industri ini dan manfaat jangka panjang kerana ia mampu menghasilkan pendapatan besar terutama selepas digariskan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.
Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 131 Projek Permulaan (EPP) dalam ETP termasuk mengembangkan industri sarang burung walet bagi bidang pertanian yang bakal menghasilkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) berjumlah RM4,541.2 juta dengan 20,800 peluang pekerjaan menjelang 2020. 

Abdul Aziz bagaimanapun berkata, melalui kursus dianjurkan syarikatnya sejak setahun lalu, beliau sudah mula melihat kecenderungan Bumiputera dalam bidang itu, malah ada perusahaan mereka sudah mula membuahkan hasil. 

Berbanding sektor ternakan lain yang sentiasa mendapat suntikan teknologi terkini, penternakan burung walet tidak boleh dibuat secara moden kerana persekitaran untuk pembiakan burung itu mestilah di kawasan semula jadi yang mampu menarik haiwan itu membuat sarang. 

Kos membina rumah burung walet membabitkan kawasan seluas 2,000 kaki persegi dan setinggi dua setengah tingkat boleh menelan belanja sehingga RM160,000. 
Beliau menasihatkan mereka yang baru berjinak-jinak dalam industri itu berkongsi membina rumah burung itu bagi mencari pengalaman, sebelum mengumpul modal dan membinanya sendiri. 

Katanya, pada masa ini kebanyakan penternakan burung walet tertumpu di Semenanjung terutama di sekitar Manjung, Perak dengan anggaran 50,000 rumah burung berbanding hanya 7,000 rumah burung di Sabah dan Sarawak. 

“Saya percaya dengan penekanan diberikan kerajaan, Malaysia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam industri terutama di kalangan Bumiputera,” katanya.