KUALA LUMPUR 17 Jan. - Mulai tahun ini, Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani menetapkan tiga syarat terhadap pengusaha-pengusaha
sarang burung walet untuk mengeksport produk tersebut ke China.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pengusaha terbabit perlu
mendapatkan
(1) sijil perakuan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan
Perkhidmatan Veterinar serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
(SKMM) sekali gus melayakkan mereka memperoleh perakuan
jenama 1Malaysia
Best pada setiap produk tersebut.
Katanya, ia bertujuan memastikan kualiti sarang burung tersebut memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan
China.
"Sijil dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar
adalah bagi memastikan sarang burung tersebut tiada risiko jangkitan
penyakit haiwan dan selamat untuk dimakan.
"
Sementara (2) sijil pengenalan frekuensi radio (RFID) dari SKMM
diperlukan untuk membolehkan sarang burung walet yang bermasalah dikesan
menggunakan gelombang frekuensi radio untuk menentukan lokasi 'rumah'
sarang burung berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat
Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik 1Malaysia yang pertama di
Puchong dekat sini semalam.
Menurut Noh, syarikat berkenaan juga perlu
(3) mengenal pasti sebuah
syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport
sarang burung walet dari Malaysia dipantau.
"Syarikat di China itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya
produk sarang burung walet jenama 1Malaysia Best sahaja yang dijamin
kualitinya dan selamat untuk dimakan," ujarnya.
Tambah beliau, antara lain, tindakan tersebut akan memulihkan kembali
industri tersebut yang mengalami masalah pemasaran ke luar negara
akibat dakwaan produk itu mempunyai kandungan nitrit yang boleh
membahayakan kesihatan.
"Pada 2011, kerajaan China telah melaksanakan penguatkuasaan
kandungan nitrit sifar yang mengakibatkan kejatuhan mendadak harga
sarang burung walet sehingga ke paras 50 peratus," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai polisi kerajaan China tersebut, beliau
berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan kedua-dua negara sedang
berbincang bagi mencapai kata sepakat mengenai kandungan nitrit yang
dibenarkan.
Sementera itu, katanya, kementerian itu juga akan melaksanakan
penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal mana-mana individu termasuk
pelancong membawa sarang burung walet lebih daripada satu kilogram ke
luar negara.