Pengusaha Rumah Gelap

Pengusaha Rumah Gelap
Rumah Gelap Simbol Kejayaan dan Kekayaan Pemilik

Swiftlet Hunter


counter

Wednesday, May 15, 2013

UPM bantu pengusaha



Industri pengeluaran sarang burung walet berdepan cabaran apabila hampir 70 peratus rumah burung diusahakan penternak kurang produktif.

Kegagalan penternak memahami spesies burung berkenaan, ditambah de­ngan pengurusan rumah tidak sistematik dikenal pasti menjadi punca haiwan itu tidak memasuki rumah yang disediakan.

Sehubungan itu, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditubuh­kan pada 14 Mac lalu bersedia membantu menyelesaikan masalah dihadapi golongan terbabit.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Jaringan Keusahawanan UCTC, Prof Madya Dr Azhar Kasim berkata, pemilihan UPM berikutan kepakarannya dalam industri berasaskan pertanian khususnya walet.

“Kami mendapat peng­iktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Walet.

“UPM diketahui sebagai pakar dalam sektor ternakan, tanaman dan akuakultur. Justeru, industri yang dikenal pasti mempunyai impak berkaitan bidang profesionalisme adalah burung walet.

“Dianggarkan kira-kira 50,000 rumah burung walet diusahakan di Malaysia dengan keba­nyakannya kurang burung, kurang produktif dan tidak ada burung,” katanya.

Berdasarkan masalah itu, potensi penjanaan pendapatan masih ada, namun ia tidak menjelma. Justeru, UPM berganding bahu dengan beberapa rakan pintar dalam kerja pemulihan dan mening­katkan prestasi rumah burung.

“Gandingan UPM de­ngan rakan pintar bukan saja dapat meningkatkan keyakinan pengusaha rumah walet, tapi mewujudkan kerjasama erat antara pengusaha de­ngan saintis dalam aspek penyelidikan.

“Sebahagian daripada gerak kerja pemulihan dan penambahbaikan rumah burung walet sudah diolah supaya kutipan data saintifik dapat dipermudahkan bagi tujuan penyelidikan saintifik,” katanya.

Penemuan baru hasil daripada kajian saintifik ini dijangka dapat dikongsi bersama dengan rakan industri supaya industri dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

“Kerja penambahbaikan membabitkan gandingan UPM-rakan pintar sudah menampakkan kejayaan yang dapat dibanggakan.

“Antara daerah ter­babit dengan usaha sama ini adalah Sungai Petani, Kedah; Dengkil dan Hulu Langat di Selangor,” katanya.

Dr Azhar berkata, sekiranya rumah bermasalah dapat dipulihkan, pengusaha rumah burung berpotensi memperoleh pula­ngan lumayan.

“Ada 1,001 punca dikaitkan dengan rumah burung walet yang kurang atau tidak produktif. Antara langkah permulaan dalam gerak kerja diamalkan UCTC bersama rakan pintar, melaksanakan siasatan menyeluruh.

“Punca masalah akan dikenal pasti dan pe­ngusaha akan menerima laporan terperinci dengan anggaran kos bagi kerja pemulihan yang munasabah,” katanya.

Situasi paling mencabar dalam melaksanakan aktiviti pemulihan rumah walet apabila rumah burung dibina tidak selari dengan konsep mendirikan rumah walet.

“Contohnya, rumah walet dibina pada lokasi yang jarang dilihat burung. Proses untuk mening­katkan jumlah sarang selepas pemulihan dibuat pada amnya mengambil masa lama,” katanya.

Individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan penyelesaian kepada masalah berkenaan boleh me­nyertai kursus Kaedah Menambahkan Penghasilan 
Sarang Burung Walet anjuran UCTC yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 Mei ini.
Penceramah terdiri dalam kalangan rakan pintar dan saintis UPM. Yuran penyertaan dikenakan berpatutan.

Maklumat lanjut berkaitan kursus itu boleh diperoleh melalui urusetia dengan menghubungi talian 03-89471807/1814/1816/1819.

No comments:

Post a Comment